|
|
oleh: techis
Semasa membelek halaman iluvislam hari ini, saya ada terbaca satu forum yang bertajuk tentang isu tabligh. Tabligh merupakan salah satu gerakan Islam di dunia ini daripada berbagai-bagai gerakan Islam yang lain dengan pelbagai nama seperti ikhwanul-muslimin, hizbut tahrir, HAMAS, jamaah islamiah dan lain-lain. Gerakan-gerakan ini semuanya memperjuangkan Islam tetapi yang berbezanya adalah dari segi skop dan method penyampainya. Tujuan saya menulis ini bukanlah untuk menghuraikan satu persatu gerakan ini, namun saya ingin berkongsi serba sedikit pengalaman yang saya perolehi.
Semasa saya masih freshman, terdapat seorang senior telah mengajak saya menyertai tabligh untuk keluar dari universiti selama 3 hari. Saya yang masih mentah dan tidak tahu apa-apa tentang tabligh telah mengambil keputusan untuk merasai pengalaman keluar selama 3 hari ini. Orang-orang tabligh menggelarnya sebagai 'keluar ke jalan Allah' kerana kita keluar kerana semata-mata mencari keredhaan Allah. Mulanya, saya berfikir bahawa tabligh ini untuk orang yang alim-alim belaka, namun sangkaan saya meleset apabila seorang profesor yang juga bersama-sama saya menerangkan kepada saya bahawa tujuan kita keluar ini adalah untuk memperbaiki diri kita sendiri dan bukannya orang lain.
Di sana, saya diajar mengenai ilmu-ilmu agama dan sunnah-sunnah rasul. Rupanya, banyak juga yang saya tidak tahu. Masih cetek ilmu saya rupanya.Semasa petangya, kami diajak keluar menziarah ke rumah-rumah orang kampung. Teringat saya semasa dahulu, jikalau berada di rumah petang-petang, akan ada tabligh ketuk pintu rumah ajak sembang-sembang. Di sana saya telah berkenalan dengan seorang tabligh yang datang dari Indonesia. Katanya, beliau telah keluar selama 40 hari. Rasa kagum sedikit timbul di dalam hati saya pada masa itu kerana saya nak keluar 3 hari pun rasa liat. Apa yang menkagumkan saya lagi, beliau bukanlah seorang yang kaya, namun berkat usahanya yang bersungguh-sungguh mengumpul wang, beliau dapat juga keluar untuk berdakwah.
Untuk pengetahuan anda, terdapat juga rakan saya yang keluar tabligh masa itu cuma berlainan jamaah. Dia telah menceritakan kepada saya pengalamannya bertemu dengan seorang tabligh cina yang muallaf. Cina itu menceritakan bagaimana dia boleh memeluk Islam. Asalnya lelaki cina itu adalah seorang koporat yang mewah. Dia mempunyai ramai rakan semasa hidup senangnya. Hidupnya yang dulu penuh dengan maksiat, minum arak, kaki perempuan berjudi dll. Namun, atas takdir Allah perniagaan beliau jatuh muflis. Semua rakannya yang dahulu mula mejauhkan diri darinya. Sampaikan satu tahap dia mahu membunuh diri. Tetapi, pada masa itu datang seorang lelaki yang berdakwah kepada lelaki cina ini. Lelaki ini menjaga lelaki cina ini semasa dia susah. Lelaki ini telah menunjukkan cara hidup Islam yang sebenar menyebabkan lelaki cina ini tertarik dan akhirnya memeluk agama Islam. Selepas pemelukannya, dia amat aktif berdakwah. Cerita ini telah membuatkan saya berasa insaf bahwa hidayah Allah itu amat berharga kepada diri kita.
Namun, ada juga kesan negatif yang saya nampak apabila seseorang itu terlalu taksub dengan jemaahnya. Ini saya dapat lihat dari rakan saya sendiri. Saya telah mengikuti perkembangannya semenjak dari tahun 1 lagi di universiti. Mula-mulanya, dia adalah seorang yang rajin dan merupakan pelajar yang agak pintar. Namun, lama-kelamaan saya dapat lihat perubahan ketara pada dirinya. Dia mula selalu ponteng kelas, tidak menyiapkan tugasan yang diberi. Apabila ada meeting kumpulan, dia selalu tidak hadir dengan alasan keluar tabligh. Bukanya sekali, namun banyak kali perkara ini terjadi. Saya juga telah mula mendengar rungutan rakan-rakan yang bengang dengan sikapnya yang terlampau mementingkan tablighnya sampaikan perkara yang wajib dibuat dahulu diabaikannya. Bagi saya, perlakuannya sedikit sebanyak menjatuhkan kredibiliti dia dan umat Islam itu sendiri. Dari perlakuannya seolah-olah menunjukkan yang dunia itu tidak penting langsung sehingga mengabaikan tuntutannya sebagai pelajar. Saya harap kepada yang mahu berjinak-jinak dengan jemaah mana-mana, pastikan anda tahu membahagikan masa anda dengan betul. Tidak salah anda bersama-sama mereka kerana banyak manfaatnya. Namun, anda harus mengutamakan perkara yang lebih penting dari perkara yang penting.
Itu
adalah serba sedikit pengalaman yang dapat saya kongsikan bersama anda
semua. Harap kita semua dapat mengambil pengajaran daripadanya.
Categories: None